Sebagai usaha berterusan menyokong Dasar Pandang ke Selatan negara, serta memperkukuhkan pertukaran budaya dua hala antara Taiwan dengan Malaysia dan Thailand, mulai hari ini laman web Kementerian Kebudayaan Taiwan secara rasmi dilancarkan dalam versi Bahasa Melayu dan Thai. Pelancaran ini diharapkan dapat membantu lebih ramai rakan peminat budaya dari negara-negara tersebut untuk mengikuti perkembangan seni dan budaya Taiwan dengan lebih mudah dan tepat.
Laman web dalam Bahasa Melayu dan Thai ini bukan sahaja memaparkan dasar-dasar penting kementerian dan maklumat seni budaya Taiwan, tetapi juga menggabungkan hasil pertukaran budaya yang melibatkan pejabat Taiwan di kedua-dua negara tersebut serta wilayah Asia Tenggara. Ini bertujuan membuka ruang interaksi dan pertukaran yang lebih mendalam antara masyarakat di Asia Tenggara dengan budaya, sejarah, dan masyarakat Taiwan.
Laman web dalam bahasa Thai dan Melayu turut mengadaptasi strategi promosi yang serupa dengan menterjemahkan tema "Budaya Taiwan" dan memperkenalkan adiguru dan tokoh terkemuka seni budaya, tokoh budaya kontemporari Taiwan dan ruang seni melalui artikel khas. Laman web ini diharapkan menjadi jendela budaya Taiwan yang komprehensif dan berdaya tarik tinggi untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa..
Kementerian Kebudayaan menyatakan bahawa sejak tahun 2013, mereka telah membangunkan dan mengemas kini laman web dalam pelbagai bahasa, termasuk Inggeris, Jepun, Perancis, Sepanyol, dan Indonesia secara berkala. Dengan penambahan versi Bahasa Melayu dan Thai, kini terdapat tujuh bahasa yang boleh diakses. Kementerian akan terus berusaha menyediakan platform bagi masyarakat antarabangsa dari pelbagai latar belakang bahasa untuk mengenali dan menghargai kepelbagaian budaya, pemikiran kemanusiaan, dan keunikan seni Taiwan. Usaha ini bertujuan untuk mencipta pentas dunia bagi Taiwan, sekali gus memperkenalkan Taiwan kepada dunia.
Laman web versi Bahasa Melayu: https://www.moc.gov.tw/my
Laman web versi Bahasa Thai: https://www.moc.gov.tw/th