Hou Hsiao-hsien (侯孝賢) adalah seorang pengarah tersohor dalam gerakan "Filem Baharu Taiwan". Antara karya agungnya termasuk "A City of Sadness" (悲情城市) pada tahun 1989, yang memenangi Anugerah Singa Emas di Festival Filem Venice; " The Puppetmaster" (戲夢人生) pada tahun 1993, yang meraih Anugerah Juri di Festival Filem Cannes; dan "The Assassin" (刺客聶隱娘) pada tahun 2015, yang menghadiahkan beliau Anugerah Pengarah Terbaik di Cannes. Pada tahun 2020, beliau dianugerahkan Penghargaan Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Golden Horse ke-57, menegaskan statusnya yang kukuh dalam dunia filem Taiwan.
Pada tahun 1983, Hou berperanan sebagai penulis skrip dan penolong pengarah untuk filem "Growing Up" (小畢的故事), yang menjadi perintis gaya realisme dalam gerakan "Filem Baharu Taiwan". Pada tahun yang sama, beliau bekerjasama dengan pengarah Wan Jen (萬仁) dan Zeng Zhuangxiang (曾壯祥) dalam filem "The Sandwich Man" (兒子的大玩偶), sebuah karya seni yang pertama kali sepenuhnya menggunakan dialek Hokkien. Seterusnya, filem "The Boys from Fengkuei" (風櫃來的人) muncul, memaparkan elemen naturalistik, menggambarkan kehidupan rakyat biasa, sekaligus menjadi salah satu pencapaian penting dalam perjalanan seni beliau.
Hou dikenali kerana gaya penggambaran "long take" yang unik, tanpa dialog berlebihan atau “storyboard” yang tidak perlu. Pendekatan ini membolehkan watak-watak menceritakan kisah mereka sendiri melalui aksi dan gerakan tubuh.
Selain menggunakan teknik penggambaran yang unik, dia sering mengintegrasikan pengalaman hidupnya sendiri atau kisah rakan-rakannya ke dalam tema cerita. Pada tahun 1985, dia menghasilkan filem "Childhood Past" (童年往事) yang diilhamkan daripada pengalamannya sendiri. Filem ini boleh dianggap sebagai karya autobiografi Pengarah Hou, dengan latar belakang, kenangan, dan elemen lain yang mencerminkan kehidupannya.
"Dust in the Wind " (戀戀風塵), yang diterbitkan pada tahun berikutnya, diilhamkan oleh pengalaman hidup penulis skrip Wu Nien-Jen (吳念真). Filem ini menggambarkan kisah sepasang kekasih yang membesar bersama berpindah dari desa ke bandar, memaparkan dengan jujur perubahan dalam hubungan mereka akibat pengaruh persekitaran. Filem ini dianggap berjaya memecahkan stereotaip filem tempatan yang terlalu melodramatik dan dikenali sebagai sebuah filem romantik yang realistik.
Bagi Pengarah Hou, "realisme" adalah cerminan keadaan sebenar masyarakat Taiwan. Selain perlu merakamnya, ia juga harus dapat difahami oleh semua orang. Beliau berpendapat bahawa adalah penting untuk menggambarkan cara hidup rakyat Taiwan , kerana setiap tempat mempunyai pandangan yang berbeza, dan dengan itu, setiap lokasi memiliki keunikannya yang tersendiri.
Pengarah Hou meraih pengiktirafan antarabangsa melalui "Trilogi Kesedihan" yang terdiri daripada "A City of Sadness" (悲情城市) yang diterbitkan pada tahun 1989, "The Puppetmaster" (戲夢人生) pada tahun 1993, dan "Good Men, Good Women" (好男好女) pada tahun 1995. "A City of Sadness" (悲情城市) menjadi filem Taiwan pertama yang memenangi Anugerah Singa Emas di Festival Filem Venice. Penggambaran filem itu di Jiufen(九份) turut mengangkat Jinguashi (金瓜石) sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal di Taiwan pada waktu itu.
Selain filem berbahasa Mandarin, Pengarah Hou pernah dijemput ke Jepun untuk menghasilkan "Café Lumière " (珈琲時光) dan ke Perancis untuk mengarahkan "Flight of the Red Balloon" (紅氣球之旅). Namun, selepas tahun 2007, beliau jarang menghasilkan karya baru. Pada tahun 2015, beliau kembali dengan "The Assassin" (刺客聶隱娘), sebuah filem yang bukan sahaja memenangi lima anugerah utama di Golden Horse Awards—termasuk "Filem Terbaik", "Pengarah Terbaik", dan "Sinematografi Terbaik"—tetapi juga meraih Anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Cannes.
Sepanjang 50 tahun penglibatan dalam dunia perfileman, Hou telah memberikan sumbangan besar kepada estetika filem. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau juga menumpukan perhatian kepada usaha memupuk bakat muda. Sejak tahun 2007, beliau berkhidmat selama empat penggal sebagai Pengerusi Festival Filem Taipei dengan fokus kepada "mencungkil bakat baru". Pada tahun 2009, beliau mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Golden Horse dan menubuhkan Akademi Filem Golden Horse, di mana beliau bertindak sebagai pengetua. Setiap tahun, akademi ini menerima pengarah muda berbahasa Mandarin untuk menyertai kursus bengkel jangka pendek, bertujuan memupuk pertukaran filem antara pelbagai tempat.
Bagi Hou, filem adalah seni yang perlu dipupuk sejak kecil. Ketika kecil, beliau banyak menonton filem dan membaca novel, termasuk novel "Wuxia[1]" dan romantik , yang menjadi asas inspirasinya. Beliau sangat menyukai pendekatan Perancis dalam mempromosikan filem, yang bermula dengan filem senyap yang hanya memaparkan imej tulen. Baginya, imej dan teks adalah ruang imaginatif yang perlu dipupuk dan dibangunkan.
[1] Filem wuxia adalah genre filem yang mengisahkan tentang pahlawan-pahlawan yang memiliki kemahiran seni mempertahankan diri yang luar biasa, sering kali berlatarbelakangkan zaman silam China.