Yang Shuang-zi (楊双子), atau nama sebenarnya Yang Jo-ci (楊若慈), adalah seorang novelis Taiwan serta penyelidik sastera popular dan subbudaya. Nama pena beliau, "Yang Shuang-zi (楊双子)" dikongsi bersama adik kembarnya, Yang Jo-hui (1984-2015), yang bermaksud "kembar" dalam kanji Jepun.
Sekitar tahun 2008, kedua-dua adik beradik perempuan kembar ini mula terpesona dengan budaya yuri. Adik kembar, Jo-hui, menjalankan penyelidikan tentang budaya yuri, sementara kakaknya, Jo-ci, mencipta karya bertemakan yuri. Dalam budaya ACG (Anime, Komik, dan Permainan), istilah "yuri" merujuk kepada hubungan antara wanita yang lebih daripada kawan tetapi belum mencapai tahap “kekasih”. Istilah ini berasal dari Jepun dan mula berkembang dalam kalangan berbahasa Mandarin selepas penubuhan forum Forum Komuniti Yuri (百合會論壇) pada tahun 2004.
Ketika belajar di institut pengajian tinggi, Jo-ci fokus dalam kesusasteraan Taiwan, manakala Jo-hui mengkaji sejarah. Untuk menghasilkan karya yang berlandaskan fakta sejarah, kedua-duanya meluangkan masa lebih dari enam bulan untuk mencari dokumen sejarah dan membina pangkalan data. Mereka juga bercita-cita untuk menubuhkan sebuah penerbitan kecil yang khusus menerbitkan novel yuri untuk memasyarakatkan budaya yuri di Taiwan. Namun, impian mereka tidak kesampaian apabila Jo-hui didiagnosis dengan kanser pada tahun 2009 dan meninggal dunia pada tahun 2015. Jo-ci kemudian menerbitkan novel yuri pertama mereka, “The Man Scooping up the Moon" (撈月之人) pada tahun 2016 di bawah nama pena Yang Shuang-zi. Selepas itu, Yang Shuang-zi menerbitkan beberapa karya lain, termasuk novel panjang “The Season When Flowers Bloom" (花開時節) pada tahun 2017, kumpulan cerpen “Blossoming Girls of Gorgeous Island" ( 花開少女華麗島 ) pada tahun 2018, dan novel "Taiwan Travelogue " (臺灣漫遊錄) pada tahun 2020, yang semuanya berlatar belakangkan era penjajahan Jepun di Taiwan.
Novel “The Season When Flowers Bloom" (花開時節) adalah karya terkenal Yang Shuang-zi (楊双子) yang diilhamkan oleh karya “The Season When Flowers Bloom" oleh Yang Qian-he (楊千鶴) (1921-2011), wartawan wanita pertama Taiwan pada zaman penjajahan Jepun. Cerita ini berlatarkan tahun 1930-an di Taiwan, yang sedang mengalami perubahan zaman yang mendadak, sementara terdapat sekumpulan wanita sedang melalui fasa berbunga dalam hidup mereka. Dalam buku ini, perspektif wanita digunakan untuk menggambarkan era penjajahan Jepun dengan sudut yang berbeza. Apa yang menjadi perhatian wanita-wanita ini mungkin bukan semangat kebangsaan atau identiti negara.
"Blossoming Girls of Gorgeous Island" adalah koleksi cerita tambahan dari "The Season When Flowers Bloom" yang dikategorikan sebagai novel sejarah yuri Taiwan yang memberi penghormatan kepada sastera Taiwan era Jepun. Dalam koleksi cerita pendek ini, karya-karya bertemakan yuri, menggambarkan hubungan emosi dan keinginan sesama wanita dalam kalangan wanita heteroseksual. Latar belakang cerita ini adalah pada pertengahan tahun 1910-an hingga pertengahan tahun 1940-an, menggambarkan kemakmuran era Jepun di Taiwan.
"Taiwan Travelogue" (臺灣漫遊錄) mengisahkan dua orang wanita, seorang dari Jepun dan seorang dari Taiwan, yang dibesarkan dalam budaya yang berbeza semasa era penjajahan Jepun. Kerana satu kebetulan, mereka memulakan perjalanan kereta api melintasi Taiwan untuk menikmati pelbagai hidangan, sambil bertukar pandangan budaya dan idea. Melalui metafora makanan, pembaca dapat melihat pelbagai konflik wujud dengan Jepun sebagai penjajah dan Taiwan sebagai tanah jajahan, serta hubungan antara penduduk Jepun dan penduduk Taiwan. Buku ini juga menggambarkan perbezaan nasib antara golongan lelaki dan wanita pada masa itu. Wanita, sebagai individu yang berdikari, terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan ujian sebelum keinginan memiliki identiti profesional dan pemikiran yang bebas.
Dalam satu wawancara, Yang Shuang-zi (楊双子) menyatakan bahawa dalam buku teks masa lalu, hubungan antara wanita sering digambarkan melalui perspektif lelaki. Sama ada menerusi pandangan lelaki atau cerita yang berpusat pada lelaki, beliau menjelaskan bahawa "Pada asasnya lelaki yang memegang kuasa. Dalam naratif seperti ini, wanita perlu bersaing untuk mendapatkan sumber yang sama, sama ada cinta watak lelaki, wang, atau kuasa, semuanya untuk mendapatkan perhatian watak lelaki tersebut."
Yang Shuang-zi (楊双子) percaya bahawa genre sastera yuri mempunyai kekuatan tersendiri. Beliau menganalisis bahawa dalam teks hiburan, watak wanita sering digambarkan sebagai objek cinta atau hadiah untuk lelaki, dengan hubungan sesama wanita yang terhad. Namun, beliau percaya bahawa persahabatan wanita mempunyai pelbagai kemungkinan yang tidak dapat didefinisikan dengan kata-kata. "Saya rasa banyak perasaan tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata, mungkin ia mengandungi rasa suka, kagum, iri hati, yang tidak semestinya adalah cinta." Menurut beliau, jika karya seni dapat menampilkan persahabatan wanita yang kompleks dan mendalam, ia mungkin juga dapat memperluaskan imaginasi terhadap peranan wanita dalam kehidupan nyata.
Pada bulan November 2024, Yang Shuang-zi (楊双子) dan penterjemah Lin King (金翎) telah memenangi Anugerah Buku Kebangsaan Amerika (National Book Awards) untuk kategori sastera terjemahan dengan karya mereka "Taiwan Travelogue" (臺灣漫遊錄) menjadikannya karya sastera Taiwan pertama yang menerima anugerah ini.